top of page
Mesej kesedaran sempena Hari Antidadah Kebangsaan 2015

DADAH...KESANNYA MEMBINASAKAN

 

Mesej kesedaran sempena Hari Antidadah Kebangsaan 2015

 

"No one is immune from addiction; it afflicts people of all ages, races, classes, and professions.”                                                                                                                                                                                          ~ Patrick J. Kennedy ~

 

Hari Antidadah Kebangsaan disambut pada 19 Februari setiap tahun. Sambutan ini bertujuan untuk memperingatkan masyarakat Malaysia akan peranan dan tanggungjawab mereka  mengenai  ancaman bahaya dadah terhadap keamanan, kesejahteraan, keselamatan dan kestabilan sosio-politik serta ekonomi negara.

 

Pada 19 Februari 1983, YBhg mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir bin Mohamad telah membuat pengisytiharan bahawa Dadah Musuh No.1 Negara. Pengisytiharan tersebut dibuat memandangkan bahawa:

 

  • "Penagihan dadah dalam negara akan mencapai tahap epidemik sekiranya langkah-langkah tegas tidak diambil untuk membanterasnya;

 

  • Sasaran utama penagihan dadah ialah generasi muda yang merupakan tulang belakang dan harapan negara di masa hadapan; dan

 

  • Penagihan dan pengedaran dadah yang berleluasa boleh mengancam kesejahteraan sosio-ekonomi, rohani dan budaya rakyat jelata dan seterusnya melemahkan ketahanan nasional dan mengancam keselamatan negara."

 

Hari ini, pelbagai cabaran baru timbul dalam menangani masalah penyalahgunaan dadah. Ini termasuklah masalah penagihan dadah yang melibatkan golongan muda terutama remaja dan kanak-kanak.

 

Penyalahgunaan dadah jenis Amphetamine Type Stimulants (ATS) seperti Ice, Syabu, Pil Kuda dan Ecstacy adalah sangat membimbangkan kerana ia mudah didapati dan menjadi trend dalam kalangan golongan remaja. Dadah-dadah jenis ini memberi kesan langsung terhadap sistem saraf tunjang. Contohnya, pengambilan Syabu akan mendatangkan kesan high secara serta merta dalam tempoh 5-10 saat kerana ia terus sampai ke otak.  Akibatnya, penyalahguna akan mengalami kurang selera makan, masalah tidur, perubahan mood, psikosis atau gangguan mental iaitu  ketidakmampuan seseorang menilai antara realiti dan fantasi. Bukan itu sahaja, penyalahguna Syabu akan kehilangan kawalan diri dan berisiko untuk melakukan tindakan-tindakan yang ganas dan agresif seperti memukul, membunuh dan mencederakan orang lain termasuk ahli keluarganya sendiri.

 

Perkhidmatan rawatan dan pemulihan juga adalah semakin kompleks dan memerlukan kepakaran yang tinggi. Memberi rawatan dan pemulihan kepada penagih dadah masa kini yang kebanyakannya adalah penagih pelbagai jenis dadah dan bahan atau cocktail merupakan cabaran yang sangat besar kepada semua pegawai-pegawai pemulihan. 

 

Dunia menyaksikan kemunculan dadah jenis baru iaitu New Psychoactive Substances (NPS).  Menurut United Nations Office on Drugs and Crime (UNODC), dadah ini dikenali sebagai “legal high”, “research chemicals”, “plant food” dan “bath salt”. Menurut UNODC, NPS merupakan dadah atau bahan yang mengancam kesejahteraan penggunanya tetapi tidak terkandung di dalam Single Convention on Narcotic Drugs 1961 atau Convention on Psychotropic Substance 1971.

 

Laporan Early Warning Advisory on NPS (Dis 2013) terbitan UNODC menunjukkan bahawa terdapat lebih dari 340 jenis NPS yang telah dikenalpasti di seluruh dunia secara akumulatif iaitu sejak dari tahun 2009.

 

NPS memberi kesan yang merbahaya kepada kesihatan dan boleh menyebabkan kematian. Terdapat kes-kes bunuh diri dan kematian yang dikaitkan dengan penyalahgunaan synthetic cannabinoids, mephedrone dan synthetic cathinones seperti bath salt.  Contohnya Cathinone MPDV bertindak di dalam transporter dopamine di dalam otak 50 kali lebih kuat berbanding dengan kesan Kokain. Ini adalah kerana perbezaan struktur kimia yang terdapat di dalam dadah tersebut menyebabkan kesan yang berbeza dari stimulant sedia ada.[1]

 

Sambutan Hari Antidadah Kebangsaan pada tahun ini adalah menggunakan mesej : “Dadah...Kesannya Membinasakan”. Sebarkan dan sampaikan maklumat mengenai kesan dan bahaya dadah kepada seluruh anak-anak remaja terutamanya  kepada seluruh ibubapa agar mereka boleh membimbing anak-anak dan membuat pencegahan awal di dalam keluarga masing-masing.

Perutusan YAB Perdana Menteri Malaysia Sempena Hari Antidadah Antarabangsa Tahun 2015

Rakyat Malaysia yang Dikasihi Sekalian.

 

1. Tema Sambutan Hari Antidadah Antarabangsa yang ditetapkan oleh UNODC pada tahun ini ialah “A Message Of Hope: Drug Use Disorders Are Preventable and Treatable”. Mesej global ini memberi harapan bahawa penyalahgunaan dan penagihan dadah boleh dicegah dan dirawat.

 

2. Penagihan dadah merupakan penyakit kronik. Penyalahgunaan dadah mengubah cara dan sistem otak berfungsi. Perubahan-perubahan ini menyebabkan berlakunya kerosakan kepada fungsi-fungsi otak dan seterusnya menjejaskan tingkah laku normal seseorang.

 

3. Pepatah ada mengatakan mencegah lebih baik daripada merawat. Isu penyalahgunaan dan penagihan dadah boleh ditangani melalui empat strategi iaitu:

 

       - Kejayaan membanteras masalah dadah memerlukan pendekatan yang seimbang dan menyeluruh.

 

      - Penglibatan seluruh masyarakat dalam memahami, mengambil tindakan dan menjadi barisan hadapan dalam memerangi isu dadah di komuniti masing-masing adalah elemen utama dalam menjayakan misi negara bebas dadah. Ini termasuklah ibu bapa dan keluarga yang merupakan entiti paling kecil dalam komuniti yang perlu memainkan peranan paling serius dalam memastikan anak-anak mereka tidak terlibat dengan gejala penagihan dadah. Elakkan dari bersikap “not me syndrome” kerana masalah dadah boleh menimpa sesiapa sahaja. Ia merentas status dan latar belakang serta kepercayaan seseorang.

 

      - Dasar yang relevan. Sudah sampai masanya kita menentukan dasar berkaitan dadah yang dinamik mengikut perkembangan masalah dadah semasa. Ancaman dadah berbahaya dan bahan-bahan yang mengkhayalkan berubah dengan pesat mengikut arus perkembangan teknologi dan cara hidup manusia. Dasar yang relevan perlu berdasarkan amalan – amalan terbaik dan evidence-based.

 

     - Pelaburan sosial yang strategik. Pembangunan ekonomi negara perlu selari dan seimbang dengan pembangunan sosial dan modal insan. Kerajaan telah melihat perkara ini dengan teliti. Matlamat kita untuk mencapai status negara maju pada tahun 2020 akan terbantut sekiranya masalah keruntuhan moral dan sosial menjadi barah dalam kalangan anak-anak muda kita. Oleh itu, pelaburan sosial perlu dipertingkatkan segera meliputi pendidikan, pembangunan individu dan keluarga, pembangunan rohani dan jasmani serta peningkatan daya tahan dalam semua program dan aktiviti.

 

4. Oleh itu, pada hari ini, saya menyeru kepada semua pihak untuk memainkan peranan dalam membanteras penyalahgunaan dadah. Perkara pertama yang mudah adalah dengan bercakap dan memberi peringatan mengenai bahaya akibat dadah kepada orang yang paling dekat dengan kita.

 

5. Guru bercakap dengan murid-murid, ibu bapa bercakap dengan anak-anak, majikan bercakap dengan para pekerja dan rakan. Bercakaplah dengan rakan – rakan anda pada hari ini, bahawa dadah membawa bencana, dadah sangat merbahaya, dadah boleh menjatuhkan produktiviti dan dadah melemahkan tamadun sesuatu bangsa.

 

Rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian,

 

6. Akhir kata, marilah kita bersama-sama berganding bahu ke arah Malaysia yang selamat dan bebas dari ancaman dadah agar anak-anak kita dapat membesar serta menjadi generasi yang berdaya saing dan berjaya pada masa akan datang.

 

"Drug use disorders are preventable and treatable".

 

Ambil kisah.

 

Ambil tindakan.

 

bottom of page